TAHUKAH ANDA

Perang sempadan berterusan di sebalik kemeriahan Sukan SEA

Perang pertikaian sempadan antara dua negara ASEAN, Thailand dan Kemboja diteruskan di sebalik pembukaan Sukan SEA ke 33 di ibu negara Thailand Bangkok, empat jam daripada kawasan konflik.

Desakan untuk perdamaian tidak diendahkan apabila Thailand dengan jelas menegaskan mereka tidak akan terlibat dengan sebarang usaha gencatan senjata.

Perkara tersebut disahkan oleh Perdana Menterinya, Anutin Charnvirakul menerusi hantaran di media sosial hari ini.

“Hala tuju Thailand kekal status quo. Tiada gencatan senjata,” katanya ringkas.

Terdahulu, pertempuran semula di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand dilaporkan sudah meragut sekurang-kurangnya enam nyawa orang awam Kemboja, menurut Kementerian Pertahanan di Phnom Penh, hari ini.

Tentera Thailand melepaskan tembakan ke arah wilayah sempadan Banteay Meanchey selepas tengah malam, “mengakibatkan kematian dua orang awam yang sedang melalui Lebuhraya Nasional 56 akibat tembakan peluru,” kata kementerian itu dalam satu hantaran Facebook.

Menteri Penerangan, Neth Pheaktra memberitahu AFP, sekurang-kurangnya empat orang awam Kemboja terbunuh akibat serangan peluru berpandu Thailand di Wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey, yang juga bersempadan dengan Thailand, semalam.

Tentera Thailand pula berkata, seorang askarnya terbunuh manakala 18 lagi cedera sejak pertempuran baharu bermula pada Ahad.

Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain kerana mencetuskan semula pertempuran yang menyaksikan Thailand melancarkan serangan udara dan menggunakan kereta kebal terhadap jirannya, semalam.-10/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button