
Sukan SEA Bangkok dirasmikan… PM ucap selamat berjuang untuk kontinjen negara
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat berjuang kepada kontinjen negara yang beraksi di temasya Sukan SEA Thailand.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyeru kontinjen negara untuk beraksi dengan penuh fokus, ketenangan dan keyakinan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Selamat berjuang kepada kontinjen negara di temasya Sukan SEA Thailand, yang secara rasmi bermula hari ini.
“Beraksilah dengan fokus, tenang dan penuh keyakinan. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi setiap langkah kalian.
Lebih 1,100 atlet negara beraksi di temasya Sukan SEA Thailand.
Malaysia yang mengambil bahagian dalam semua 50 acara yang dipertandingkan pada edisi ke-33 di Sukan SEA 2025 di Bangkok dan Chonburi menetapkan misi baharu untuk membawa pulang 200 pingat tanpa mengira warna.
Sukan SEA 2025 dibuka secara rasmi hari ini di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok dan berakhir pada 20 Disember ini.

Ini adalah kali ketujuh Thailand tampil menjadi penganjur sukan temasya dwitahunan itu sejak ia mula diadakan pada 1959 dengan nama temasya Sukan SEAP.
Kontinjen negara tampil penuh bergaya malam ini dengan 59 anggota menyertai perarakan yang menjadi tumpuan ribuan penonton.
Mendahului barisan ialah dua atlet negara yang menjadi kebanggaan iaitu jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar dan atlet ski air, Aaliyah Yoong Hanifah selaku pembawa Jalur Gemilang.
Mereka diiringi ketua kontinjen, Nurul Huda Abdullah, bersama tiga timbalan, Datuk Kenny Goh, Nazmizan Muhammad dan Jivan Mohan.
Turut sama berarak ialah atlet daripada sukan olahraga, ski air, luncur ais dan hoki ais, selain pegawai sekretariat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN), menambahkan lagi warna pada malam penuh simbolik itu.
Namun tumpuan utama pada perarakan kali ini jelas terarah kepada rekaan batik kontemporari yang menghiasi tubuh atlet negara, satu identiti baharu yang memancarkan keyakinan dan karakter Malaysia di pentas antarabangsa.
Batik berkenaan bukan sekadar pakaian, sebaliknya ia adalah naratif visual mengenai negara yang kaya tradisi, progresif dalam pemikiran dan sentiasa melangkah ke hadapan dengan keyakinan.
Pada edisi kali ini, kontinjen negara membabitkan 1,655 anggota merangkumi 1,140 atlet dan 515 pegawai, disasarkan memburu 200 pingat tanpa mengira warna.
Atlet negara turun beraksi dalam 50 jenis sukan membabitkan 459 acara, merangkumi disiplin Olimpik sehingga ke pelbagai acara tradisional rantau ini.-10/12/2025



