
Krisis Bersatu makin parah…14 dari 24 bahagian di Perak desak Muhyiddin undur diri sebagai Presiden
Krisis dalaman parti Bersatu nampaknya bertambah parah.Hari ini Rabu Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin berdepan desakan kelompok terbesar setakat ini agar beliau berundur diri dari memimpin parti itu.
Lebih dari separuh bahagian parti itu di Perak yakni 14 dari 24 bahagian tampil secara terbuka buat desakan itu.
Mereka yang terdiri dari pimpinan bahagian,ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri berhimpun di sebuah hotel di Ipoh.
Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin telah bertindak sebagai jurucakap mereka.
Selain Pasir Salak bahagian lain yang turut serta ialah Tanjung Malim, Teluk Intan, Tapah, Kampar, Gopeng, Parit, Beruas, Ipoh Timur, Padang Rengas, Bukit Gantang, Bagan Serai, Larut dan Gerik.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, Ahmad Man; ADUN Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.
Zainol Fadzi berkata, kepimpinan bahagian-bahagian Bersatu di Perak berpandangan bahawa parti perlu melalui proses penyegaran semula termasuk rejuvenasi kepimpinan untuk memastikan Bersatu terus diterima rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Parti ini perlu diperbaharui dan diremajakan. Jika tidak dilakukan sekarang, kami khuatir PRU16 nanti Bersatu akan ditolak di semua kawasan yang ditandingi,” katanya.
Menurutnya, pimpinan bahagian menghormati Muhyiddin sebagai presiden pengasas parti, namun faktor usia, isu peribadi serta kes mahkamah yang belum selesai dilihat bakal menjadi liabiliti kepada parti dan PN.- 10/12/2025



