
Penjawat awam kekuatan utama kerajaan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan pentadbiran negara termasuk prestasi kerajaan, bergantung secara langsung kepada komitmen dan dedikasi penjawat awam di semua peringkat.
Beliau menyifatkan peranan penjawat awam, daripada barisan tertinggi sehingga petugas peringkat paling asas sebagai tonggak utama yang memastikan Malaysia kekal bergerak ke hadapan walaupun berdepan ketidaktentuan politik dan dasar pada tahun-tahun lalu.
“Orang melihat tentunya prestasi Perdana Menteri, tetapi orang lupa bahawa prestasi itu baik atau lemah, banyak bergantung kepada kekuatan, termasuk dan utamanya kekuatan penjawat awam.
“Selain itu, tentulah harapan kita menggunung kerana kita telah agak ketinggalan, berapa tahun politiknya terumbang-ambing, dasarnya tidak jelas dan kadang-kadang kita terkenal dalam isu-isu yang melemah-longlaikan sendi, nadi kekuatan negara.

“Jadi sebab itu kita harus kejar dengan lebih dan pantas,” katanya ketika berucap di Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke 30 pada Rabu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) serta seluruh jentera JPA yang bertungkus-lumus menyiapkan sistem saraan baharu yang mendapat sambutan positif dalam kalangan penjawat awam.
Anwar berkata, kemajuan negara kini termasuk pandangan positif pelabur terhadap potensi Malaysia dalam teknologi baharu dan kecerdasan buatan, berlaku hasil kerja berpasukan antara kerajaan dan penjawat awam.
Menurutnya, prinsip ihsan, prihatin dan rahmah bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan melalui dasar yang memberi perhatian kepada kebajikan semua lapisan penjawat awam, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau turut menyeru penjawat awam agar terus memperbaiki kelemahan dan mengekalkan budaya kerja cemerlang demi mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara berdaya saing.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian peruntukan tambahan RM500,000 bagi membantu kelancaran penganjuran konvensyen tersebut, sebagai tanda penghargaan kepada CUEPACS dan seluruh anggota persatuan yang sentiasa menyumbang kepada perkhidmatan awam.-11/12/2025



