TAHUKAH ANDA

ADUN tunggal PAS di Sabah sokong kerajaan

Alamak… ini macam keluarga 69, kalau di Semenanjung PAS dan PH berseteru, di Sabah mereka dalam satu kerajaan.

Paling malu tentulah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini dakwa mereka ambil ketetapan bahawa Aliakbar kekal sebagai wakil rakyat pembangkang.

Tup-tup… PAS pada Khamis memutuskan untuk membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Aliakbar Gulasan untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan serta perundingan melibatkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN di Kuala Lumpur pada Selasa.

“Walaupun kami tidak berada dalam konteks pembentukan kabinet di Sabah, pendirian PAS adalah untuk mendokong dan menyokong kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Aliakbar yang bertanding atas tiket PAS berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan meraih 7,054 undi dalam pertandingan 11 penjuru, sekali gus menewaskan penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Yakub Khan.

Tuan Ibrahim berkata beliau yakin dengan pengalaman Hajiji serta sokongan PAS terhadap kepimpinan kerajaan negeri mampu memperkukuh pentadbiran Sabah.

“Saya yakin hubungan baik Aliakbar dengan Hajiji dapat memudahkan beliau (Aliakbar) melaksanakan tugas sebagai ADUN yang dipilih rakyat Karambunai,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu bertentangan dengan kenyataan dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Tuan Ibrahim berkata isu itu tidak timbul kerana ADUN Karambunai adalah daripada PAS.

“Tidak ada dan kami pun dah maklumkan perkara ini dalam mesyuarat PN,” katanya.

Sementara itu, Aliakbar, yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah berkata, pimpinan Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan kepada Pas untuk menentukan arah sokongan parti di negeri itu.

“Memandangkan saya sudah bekerja selama lima tahun di bawah Ketua Menteri, jadi saya agak selesa dan serasi dengan beliau. Hubungan pun rapat, ditambah pula dengan usaha kita untuk meneruskan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Jadi perkara ini telahpun dimaklumkan kepada Ketua Menteri sejak awal, dan kita juga telah menghantar surat kepada beliau pada 9 Disember lalu untuk menyatakan sokongan,” katanya-

Sebelum itu, Aliakbar yang sebelum ini merupakan ADUN Dilantik, berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan memperoleh 7,054 undi dalam persaingan 11 penjuru.12/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button