
Rakyat Malaysia dilarang kunjungi kawasan sempadan Thailand-Kemboja
Wisma Putra mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia yang berada di Thailand dan Kemboja susulan peningkatan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin terutama di kawasan dikenal pasti berisiko.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan ahli keluarga atlet negara yang berada di Thailand sempena penganjuran Sukan SEA tidak perlu bimbang kerana semua acara berlangsung di Bangkok dan Chonburi yang terletak jauh daripada kawasan konflik.
“Bangkok dan Chonburi jauh dari sempadan, justeru keadaan di lain-lain tempat di Thailand mahupun Kemboja tenang.
“Cumanya saya telah keluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia supaya tidak pergi ke tempat yang wujud ketegangan, iaitu di sempadan kedua buah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan dan Sumbangan Peringkat Parlimen Rembau, pada Khamis.
Menurutnya, Malaysia akan terus berusaha memujuk Thailand dan Kemboja kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan, sekali gus memastikan pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur yang menekankan gencatan senjata berkekalan.
Beliau berkata, konflik berpanjangan hanya akan memberi implikasi negatif kepada kestabilan rantau ASEAN.
“Cuba elakkan jika tak ada keperluan. Sempadan sebuah negara yang banyak pintunya sudah ditutup, jadi tak ada sebab rakyat Malaysia perlu berada di kawasan tersebut,” ujarnya.-12/12/2025



