
CSAM meningkat drastik: Malaysia perlu benteng baharu lindungi kanak-kanak
Tahukan anda jenayah serius yang semakin meningkat di seluruh dunia termasuk Malaysia adalah bahan penderaan seksual kanak-kanak atau ‘child sexual abuse material’ (CSAM)?
Ini terjadi seiring dengan perkembangan pesat teknologi dan komunikasi di mana anak-anak kita didedahkan dengan gajet serta media sosial pada usia yang terlalu muda.
CSAM bukan sekadar muncul dalam bentuk rakaman penderaan, malah turut wujud dalam imej yang diubah suai, bahan yang dirakam secara paksaan serta kandungan yang disebarkan melalui kumpulan tertutup dan akaun tanpa nama.
Lebih membimbangkan, bahan-bahan ini kini diedarkan secara pantas melalui platform pemesejan, rangkaian privasi dan saluran ‘dark web’, dengan transaksi kewangan dilakukan melalui sistem tanpa tunai yang sukar dikesan.
Realiti ini menjadikan usaha pengesanan dan penyingkiran kandungan haram sebagai satu cabaran besar kepada pihak berkuasa dan penyedia platform digital.
OPERASI PEDO BERSEPADU PDRM-MCMC

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail pada oada bulan September 2025 lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas PDRM dalam Operasi Pedo Bersepadu PDRM–MCMC.
Menurut beliau, sebanyak 82 peranti digital dirampas sepanjang operasi itu, dengan jumlah fail meningkat lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 pada Disember 2024.
“Operasi itu melibatkan 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan risikan Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah serta pemantauan digital MCMC, selain kerjasama antarabangsa dan maklumat daripada aduan awam.
“Modus operandi jenayah ini melibatkan suspek mengakses dan memuat turun bahan CSAM melalui Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web serta storan awan.
“Sebahagian mereka bertindak sebagai admin kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan CSAM melalui transaksi e-wallet dan kod QR perbankan seperti M-Bank dan Touch & Go,” katanya.
Lebih membimbangkan, siasatan turut mengesahkan penglibatan golongan remaja, satu petanda awal bahawa generasi muda kini terdedah lebih awal kepada dunia berisiko tinggi, sama ada sebagai mangsa, pemerhati atau penyebar tanpa sedar.
Hakikat ini mengukuhkan satu kesimpulan penting: perlindungan kanak-kanak tidak lagi boleh bergantung kepada tindakan selepas jenayah berlaku, sebaliknya mesti bermula dari pintu masuk digital itu sendiri.
Jelas Mohd Khalid, ada remaja berusia 17 tahun mencatat pendapatan RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025 hasil jual beli bahan CSAM, menunjukkan kegiatan itu bukan sekadar hiburan, tetapi sudah menjadi aktiviti berstruktur dan bermotifkan kewangan.
“Ini menunjukkan peralihan tahap moral yang membimbangkan. Peningkatan drastik fail CSAM dari tahun ke tahun menuntut kapasiti penyiasatan, kepakaran forensik digital serta infrastruktur penyimpanan bukti yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan eksponen data jenayah,” katanya.
KDN TAMBAH PERUNTUKKAN PERANGI CSAM

Berikutan itu, kerajaan Madani tidak tinggal diam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuh usaha memerangi kes CSAM melalui peruntukan RM20 juta tahun depan.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dana itu akan dimanfaat kepada peningkatan peralatan forensik digital, pembangunan kepakaran pegawai penyiasat, serta perluasan program advokasi pencegahan di sekolah dan komuniti.
“Kami menggesa agar tumpuan segera diberikan kepada pengukuhan peralatan forensik digital dan pembangunan kapasiti (capacity building) pakar tempatan. Sekiranya kepakaran domestik terhad, program latihan dan pendedahan di luar negara perlu dipertimbangkan.”
“Selain itu, adalah penting untuk memperhebatkan kempen kesedaran dan mewujudkan Pusat Aduan Setempat (One-Stop Centre) bagi memastikan tindakan bersepadu dalam membanteras masalah ini,” katanya.
Jelas beliau, peruntukan besar berkenaan diumumkan susulan trend peningkatan membimbangkan kes yang melibatkan kanak-kanak dan penjaga.
Sejak 2021 hingga November 2025, sebanyak 479 kes keganasan dan 3,042 kes gangguan seksual direkodkan di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan bahawa KDN terus mengguna pakai rangka undang-undang sedia ada, termasuk Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan peruntukan Kanun Keseksaan, dengan sokongan Child Interview Centre bagi memastikan siasatan melibatkan kanak-kanak dibuat tanpa menjejaskan emosi dan trauma mangsa.
Kerjasama erat juga dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Interpol dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk perlindungan dan rawatan mangsa serta mencegah eksploitasi dalam talian.
AKTA KESELAMATAN DALAM TALIAN 2025 (AKTA 866)

Sementara itu, di Dewan Rakyat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan ketika ini MCMC sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
“Di bawah perundangan subsidiari ini, pemberi perkhidmatan bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 16 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka,” katanya.
Akta 866 digubal bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan.
“Kementerian Komunikasi melalui MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan khususnya remaja dan kanak-kanak.
Kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memperkenalkan had umur minimum 16 tahun bagi akses ke platform digital, dengan sokongan kawalan berasaskan umur.
Langkah ini bukan bertujuan menyekat kebebasan semata-mata, tetapi berfungsi sebagai mekanisme pencegahan awal bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berisiko selain menghalang eksploitasi awal serta mengekang pembabitan dalam rangkaian tersembunyi yang memudaratkan.
Kanak-kanak di bawah 16 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling terdedah kepada manipulasi, ugutan dan eksploitasi digital, kerana faktor kematangan emosi, rasa ingin tahu serta kekangan kefahaman terhadap risiko siber.
Dengan meletakkan kawalan akses di pintu masuk, ruang untuk bahaya berkembang dapat dikurangkan sebelum ia sempat berakar.
PLATFORM DIGITAL KINI BENTENG TERAKHIR PERLINDUNGAN

Malaysia tidak akan menjadi ‘pariah’ jika menghalang remaja bawah 16 tahun untuk memiliki media sosial, Australia telah menguatkuasakannya dan Singapura akan menyusul mulai Januari tahun depan manakala New Zealand tidak lama lagi.
Australia yang menjadi negara pertama di dunia melaksanakannya bagi mengekang ketagihan dan risiko kandungan berbahaya dalam talian.
Di bawah undang-undang baharu itu, platform media seperti Facebook, Instagram, TikTok, YouTube, Snapchat dan Reddit boleh dikenakan denda sehingga AS$33 juta jika didapati gagal menutup atau menyekat akaun pengguna bawah umur di Australia.
Kerajaan berkata larangan tersebut penting bagi melindungi kanak-kanak daripada “algoritma pemangsa” yang menyebarkan kandungan berkaitan buli, seksual dan keganasan.
Langkah itu menerima sokongan ramai ibu bapa, namun menerima kritikan meluas dalam kalangan remaja.
Malah syarikat teknologi termasuk You Tube menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan terburu-buru, sekali gus memberi amaran larangan tersebut hanya akan mendorong remaja meneroka laman web yang lebih berisiko.

Kerajaan Australia dalam pada itu mengakui pelaksanaan awal mungkin tidak sempurna, namun menegaskan platform terbabit mesti mengambil langkah munasabah bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan.
Pengesahan umur mungkin menggunakan AI atau dokumen pengenalan diri.
Jika kawalan umur ialah lapisan pertama, maka penyedia platform digital merupakan benteng terakhir perlindungan kanak-kanak. Hari ini, tanggungjawab platform tidak lagi terhad kepada menyediakan ruang komunikasi, tetapi turut merangkumi keupayaan untuk mengesan kandungan haram dengan pantas serta menghalang penyebaran berulang selain menyingkirkan bahan penderaan secara konsisten
Hakikatnya, kelajuan dan konsistensi tindakan platform kini lebih penting daripada jumlah kandungan yang dipadam semata-mata. Satu kelewatan sahaja boleh membolehkan bahan penderaan beredar, dimuat turun dan dikongsi semula berkali-kali, mewujudkan penderitaan berterusan kepada mangsa.
Keadaan ini menjadikan akauntabiliti platform bukan lagi pilihan, sebaliknya satu kewajipan moral dan sosial.-12/12/2025



