
Bandar Pintar Melaka: MCMC peruntuk RM310 juta untuk bina infrastruktur digital
Melaka terima peruntukan RM310 juta untuk membangunkan infrastruktur kesalinghubungan bagi inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka, menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerajaan negeri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peruntukan itu akan menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai bandar warisan digital selaras dengan statusnya sebagai negeri warisan.
Menurut beliau, pembiayaan itu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital di seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar.
“Dan pada waktu itu kita di Kementerian Komunikasi dan MCMC telah mula melihat bahawa pimpinan Kerajaan Negeri Melaka mempunyai hala tuju dan pandangan yang jauh tentang usaha untuk mendigitalkan pelbagai aspek perkhidmatan asas kepada perkhidmatan digital. Ini semestinya adalah infrastruktur digital itu sendiri, Jadi itulah antara sebab kenapa kalau nak dibandingkan dengan beberapa inisiatif MCMC yang lain, kali ini ia adalah merangkumi seluruh negeri,” katanya selepas menyaksikan acara pertukaran MoU antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka.
Fahmi berkata beberapa inisiatif utama akan dilaksana menerusi MoU itu termasuk pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik melalui Melaka Network Operation and Command Centre.
Turut akan dilaksana ialah pengurusan pelancongan warisan berasaskan teknologi pintar serta inisiatif pengurusan banjir menggunakan sistem amaran awal dan sensor teknologi Internet Kebendaan (IoT).
“Infrastruktur kesalinghubungan pintar menyediakan asas kukuh dalam pembangunan bandar pintar terutamanya dalam penyediaan rangkaian gentian optik, tiang pintar dan Wi-Fi awam bagi meningkatkan akses kepada capaian Internet di seluruh negeri Melaka.
“Usaha ini turut merangsang pembangunan ekonomi digital tempatan dengan memperkukuh infrastruktur komunikasi bagi menyokong sektor pelancongan, peruncitan, logistik serta perusahaan kecil dan sederhana sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan,” katanya.
Semasa sidang media selepas itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melihat Kerajaan Negeri Melaka mempunyai hala tuju dan berpandangan jauh terhadap usaha mendigitalkan pelbagai aspek perkhidmatan.
“Asas kepada perkhidmatan digital ini semestinya infrastruktur digital itu sendiri… kalau hendak dibandingkan dengan beberapa inisiatif MCMC yang lain, (projek) kali ini merangkumi seluruh negeri (dan) bukan sekadar kawasan bandar supaya dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat.
“Saya percaya kita akan dapat mulakan fasa pertama dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan,” katanya.-13/12/2025



