
Trump telefon Anwar bincang konflik Kemboja-Thailand
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghubungi Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan konflik Kemboja-Thailand.
Dalam catatan di facebooknya, Anwar berkata Malaysia berperanan bagi menggesa Thailand dan Kemboja supaya bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
“Kami berbincang berkenaan konflik Kemboja-Thailand, hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja–Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah penyaheskalasian,” katanya.
Anwar turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Pada Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di bandar raya ini, Thailand dan Kemboja menamatkan pertikaian sempadan kedua-dua negara yang berlanjutan berdekad lamanya menerusi majlis menandatangani perjanjian damai dikenali ‘KL Peace Accord’ atau Perjanjian Damai KL.
Perjanjian bersejarah antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet itu disaksikan oleh Trump dan Anwar.
Trump menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas kejayaan beliau menjadi perantara kepada pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand hari ini.
Sementara itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar dalam masa terdekat untuk menilai situasi, menyokong langkah meredakan ketegangan serta mengukuhkan peranan kolektif negara anggota dalam memelihara keamanan serantau.
Anwar berkata beliau berhubung melalui panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh.
Beliau berkata perbincangan bersama Perdana Menteri Vietnam itu antara lain berkisar perkembangan semasa di rantau ini serta usaha bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).-13/12/2025



