FOKUS

Apa cerita keputusan MIC nak keluar BN ?

Dengar cerita ramai orang politik yang naik pening kepala tentang isu parti MIC yang sudah buat keputusan nak keluar dari gabungan Barisan Nasional yang disertainya sejak zaman negara ini capai kemerdekaan lagi.

Kini sudah hampir sebulan sejak keputusan besar itu dibuat dalam Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79 di Shah Alam pada 16 November lalu.

Al-kisahnya selepas keputusan itu dibuat perwakilan perhimpunan itu bersetuju serahkan kuasa penentu muktamad kepada budibicara mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan datang untuk membuat keputusan.

Sejak itu isu ini agak senyap dan ‘ding dong’ kisah MIC nak keluar BN masih berterusan.

Hari ini,Ahad Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zahid Hamidi ditanya wartawan isu berkenaan selepas merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia), di Semenyih.

Katanya setakat ini pihaknya masih belum menerima surat daripada MIC, berhubung usul parti itu untuk keluar daripada BN.

“Saya tidak nampak apa-apa resolusi ataupun surat (dari MIC).

“Dan tentunya kita tidak membuat sebarang keputusan, tetapi kalau mereka tidak dapat membuat keputusan, kita (BN) akan membuat keputusan (mengenai MIC keluar dari BN),” katanya.

Beliau berkata tiada pertemuan diadakan antara BN dan MIC selepas parti itu mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 pada 16 November lalu yang meluluskan usul untuk keluar daripada BN.

Dalam masa sama, Zahid turut mengingatkan parti komponen dalam BN untuk berfikir panjang sebelum membuat keputusan meninggalkan gabungan yang telah dimeterai sejak sekian lama.

“Landskap politik akan berubah, saya yakin akan berubah sebab dalam tempoh 24 bulan untuk menuju Pilihan Raya Umum ke-16, pelbagai perkara boleh berlaku dan ia hampir pasti akan berlaku.

“Jadi saya menyebutkan jangan menyesal jika keputusan itu tidak dibuat mengikut perubahan landskap politik. Saya takut mereka berada di dalam keadaan gantung tidak bertali dan jangan menyesal kalau keadaan itu berlaku,” katanya tanpa menamakan parti yang berkenaan.

Sementara itu, ditanya adakah BN akan mempertimbangkan untuk menerima IPF sebagai sebahagian parti teras dalam gabungan itu, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada persetujuan parti komponen yang lain.

“Oleh kerana kita tertakluk kepada perlembagaan BN, semua parti dalam gabungan BN mesti secara konsensus sebulat suara bersetuju untuk menerima mana-mana parti yang menyertai BN sebagai parti teras.

“Maka atas kekangan Pelembagaan dalam parti BN itulah, bukan hanya IPF, tetapi banyak parti-parti lain tidak diterima sebagai parti teras,” katanya.- 14/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button