TAHUKAH ANDA

Mangsa banjir di PPS kekal terhubung melalui inisiatif NOW

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menggerakkan inisiatif NADI on Wheels (NOW) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Setongkol bagi menyokong keperluan internet serta kebajikan komuniti terjejas akibat banjir di Pahang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata antara perkhidmatan yang disediakan kepada mangsa banjir di PPS berkenaan termasuk kemudahan internet percuma, saringan kesihatan asas serta pelaksanaan Program Perkhidmatan Pintar NADI yang disesuaikan dengan keperluan komuniti setempat.

“Inisiatif berkenaan bertujuan memastikan mangsa banjir kekal berhubung, memperoleh maklumat tepat dan dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana.

“Pengoperasian NADI on Wheels dilaksanakan susulan peningkatan bilangan kawasan terjejas banjir dan pengaktifan beberapa PPS di Pahang.

“Bermula 19 Disember 2025, perkhidmatan ini digerakkan ke PPS Bukit Setongkol bagi membantu mangsa banjir khususnya dari aspek akses digital dan sokongan berasaskan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NADI on Wheels dilengkapi dengan kemudahan satelit Starlink, tenaga solar mudah alih, komputer riba, tablet, projektor serta Wi-Fi percuma, sekali gus berperanan sebagai pusat perkhidmatan bergerak yang membawa kemudahan teknologi terus ke lapangan.

MCMC turut berkata, pendekatan berkenaan memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan dan menyokong kesejahteraan komuniti yang terkesan akibat bencana.

Memurutnya, NADI on Wheels merupakan inisiatif di bawah MCMC yang berfungsi sebagai platform perkhidmatan bergerak bagi menyediakan capaian internet serta sokongan secara langsung kepada komuniti, khususnya golongan rentan, kawasan pedalaman dan lokasi terjejas bencana.

“MCMC akan terus memantau situasi semasa dan bersedia menggerakkan NADI on Wheels ke PPS lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa, selaras dengan peranan NADI dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.-21/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button