
43,656 permohonan MyKad diproses melalui MEKAR tahun ini
Sebanyak 43,656 permohonan MyKad melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) diproses sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya komited untuk membantu rakyat yang layak mendapatkan pengenalan diri dan hak kewarganegaraan melalui pelbagai inisiatif, termasuk melalui Program MEKAR.
Tegas beliau, masyarakat perlu lebih peka tentang kepentingan mendaftarkan setiap kelahiran agar tiada rakyat yang layak mendapat kewarganegaraan terabai daripada memperoleh dokumen asas itu.
Bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, setiap kelahiran wajib didaftarkan, tanpa mengira status kewarganegaraan ibu bapa.
“Itu sebabnya dilaksanakan MEKAR untuk kita berada di mana-mana tempat di seluruh negara bagi memastikan tiada lagi penduduk yang layak mendapat dokumen, tidak diberi hak.
“Bawah Kerajaan MADANI, banyak insiatif dilaksanakan seperti SARA dan pemberian subsidi minyak yang memberi kesan langsung kepada warganegara. Atas dasar itu, pelaksanaan ini dirancakkan. Kalau dulu masih ada yang tidak menitikberatkan kad pengenalan, tetapi hari ini, disebabkan oleh SARA, mereka datang ke pejabat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan MyKad kepada seorang pesawah, Shaharudidin Basir melalui Program MEKAR di Kampung Keting, Gunong Bachok.
Datuk Badrul Hisham turut mendedahkan di Kelantan sahaja, sebanyak 77 kes lewat daftar kelahiran direkodkan tahun ini dengan 69 daripadanya berjaya diselesaikan, manakala baki kes sedang dalam tindakan.
Mengenai kes Shaharuddin, siasatan mendapati pesawah berkenaan sebenarnya pernah dikeluarkan sijil kelahiran ketika lahir, namun dokumen tersebut tidak mengandungi nama kerana ibu bapa ketika itu dikatakan mengejar tempoh pendaftaran.
Situasi jarang berlaku ini menyebabkan lelaki berusia 57 tahun itu memperoleh sijil kelahiran tanpa nama, sebelum pindaan nama dibuat hanya ketika usia 13 tahun.
Selepas pindaan terbabit, beliau tidak meneruskan proses permohonan dokumen lain.
Apabila melepasi usia 16 tahun, proses menjadi lewat daftar yang tertakluk kepada syarat ketat, termasuk keperluan untuk melaksanakan semakan menyeluruh ke atas ahli keluarga.
Kesukaran itu menyebabkan permohonan Shaharudin berlarutan bertahun-tahun sebelum berjaya diselesaikan pada minggu lalu.
Sehingga bulan lalu, sebanyak 43,656 kes rakyat Malaysia tiada kad pengenalan berjaya diselesaikan.-15/12/2025



