YANG VIRAL

Anwar ucap takziah… kecam keganasan berdasarkan kaum dan agama di Sydney

Enam belas orang maut manakala sekurang-kurangnya 40 lagi cedera dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, Australia, menurut polis pada awal Isnin.

“Polis mengesahkan 16 orang maut dan 40 orang masih menerima rawatan di hospital susulan insiden tembakan di Bondi semalam,” menurut kenyataan polis New South Wales di laman X.

Kenyataan polis bagaimanapun tidak menyatakan sama ada angka korban itu termasuk seorang daripada penembak yang meninggal dunia dalam serangan tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden serangan di Sydney dan mendoakan mereka yang cedera agar segera pulih sepenuhnya.

“Saya merakamkan ucapan takziah setulus hati kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera agar segera sembuh,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook.

Anwar berkata beliau amat terkejut dengan serangan berkenaan yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan ramai lagi serta mengecam tindakan itu sekeras-kerasnya.

“Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan terhadap orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama, sama ada pada bila-bila masa atau di mana-mana. Tindakan sedemikian tidak mempunyai asas dalam mana-mana agama atau kepercayaan.

“Malaysia menyatakan pendirian tegas untuk berdiri bersama rakyat dan Kerajaan Australia dalam menghadapi situasi sukar ini, serta menyokong sepenuhnya segala inisiatif dan tindakan yang dilaksanakan bagi mengenal pasti pihak terlibat dan memastikan keadilan ditegakkan menurut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Seorang daripada penembak ialah Naveed Akram dari Bonnyrigg di barat daya Sydney, menurut ABC, memetik seorang pegawai penguat kuasa undang-undang kanan.

Pegawai itu, yang tidak mahu dikenali berkata, rumah Akram di Bonnyrigg sedang diserbu polis.

Ramai ahli komuniti Yahudi berkumpul di pantai untuk meraikan Hanukkah, Perayaan Cahaya Yahudi, pada awal malam itu.

Satu majlis Hanukkah di Melbourne telah dibatalkan, dan komuniti Yahudi di sana berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi berikutan insiden tembakan di Sydney itu, lapor akhbar tempatan Herald Sun.

Kejadian tembakan berlaku sekitar 6:40 petang waktu tempatan apabila sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata senjata api berkuasa tinggi melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang awam.

Amaran dikeluarkan polis sejurus 7 malam menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri daripada kawasan berkenaan dan sesiapa di lokasi supaya mencari tempat yang selamat.

Rakaman video dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan orang ramai melarikan diri dari pantai serta senjata api terletak di atas tanah.-15/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button