
Nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia di Kemboja
Rakyat Malaysia di Kemboja dinasihatkan untuk tidak mengunjungi beberapa wilayah di negara itu berikutan perang yang tercetus dengan Thailand.
Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh memaklumkan antara wilayah tersebut ialah Preah Vihear, Oddae Meanchey, Banteay Meanchey, Battambang, Koh Kong dan Pursat.
“Semua warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada sumber berita sahih dan mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi Kerajaan Kemboja,” kata kedutaan menerusi kenyataan, hari ini.
Pertempuran di sempadan Thailand dan Kemboja semakin tegang dan tidak menunjukkan tanda reda dengan pegawai pertahanan dan penganalisis keselamatan memberi amaran mengenai kewujudan perang maklumat serta konflik baharu yang melangkaui penggunaan senjata konvensional.
Sekurang-kurangnya 25 individu dilaporkan terkorban, termasuk 14 tentera Thailand dan 11 orang awam Kemboja akibat konflik yang memuncak pada Rabu lalu.
Bangkok sebelum ini menafikan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa gencatan senjata telah dipersetujui Thailand dengan Kemboja untuk menghentikan pertempuran semula itu yang memasuki minggu kedua.
Pemimpin Thailand menegaskan tiada sebarang perjanjian gencatan senjata dicapai dan kedua-dua kerajaan memaklumkan bahawa pertempuran masih berterusan. -16/12/2025



