TAHUKAH ANDA

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN ditangguhkan

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi menilai situasi semasa di rantau ini terutamanya berkaitan ketegangan antara Thailand – Kemboja yang dijadualkan esok ditangguhkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan itu diambil selepas kedua-dua negara tersebut meminta ruang bagi memperkemaskan persediaan dan memastikan proses rundingan dapat berjalan dengan lebih teratur serta berkesan.

“Kemboja dan Thailand meminta penundaan mesyuarat. Oleh itu, kita menangguhkannya bagi memastikan semuanya berjalan dengan teratur.

“Bagaimanapun, kita terus menyeru kedua-dua pihak agar menghentikan sebarang pertikaian. Keadaan kini sangat kritikal dan saya terus berhubung secara maya dengan mereka setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberia selepas hadir majlis pelancaran buku The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia di ibu negara pada Isnin.

Terdahulu pada Jumaat, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat untuk menilai situasi, menyokong langkah meredakan ketegangan, dan mengukuhkan peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau.

Beliau memberitahu telah menghubungi rakan sejawat, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau ini, serta usaha-usaha bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.-16/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button