
Aktivis penggerak kempen Justice For Zara dilantik Timbalan Menteri Agama
Kalau dah rezeki tidak ke mana… Aktivis yang memperjuangkan kes kematian pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Zara Qairina Mahathir iaitu Ustazah Marhamah Rosli, dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pelantikan Marhamah, diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media khas pada Selasa.
Marhamah, menggantikan Dr Zulkifli Hasan yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Zulkifli menggantikan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Berdasarkan laporan media, Marhamah, sebelum ini merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah serta penceramah bebas.
Berkelulusan ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), nama Marhamah lebih dikenali kerana memperjuangkan keadilan untuk Zara Qairina.
Beliau sentiasa memuatnaik perkembangan terbaharu mengenai Zara sejak kematiannya hampir setiap hari sehingga kepada inkues yang dijalankan di Mahkamah di Sabah.
Ramai yang terkejut apabila mengetahui Marhamah dilantik sebagai Timbalan Menteri dan berharap agar beliau dapat menggalas jawatan yang diberikan dengan sebaiknya.
Antaranya ibu kepada Zara Qairina sendiri yang mengucapkan tahniah kepada Marhamah atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Noraidah Lamat, 45, menzahirkan penghargaan itu menerusi hantaran di Facebook, sambil mengimbas jasa dan sokongan yang diberikan Marhamah sepanjang tempoh sukar yang dihadapinya.
“Alhamdulillah. Tahniah puan, banyak jasa puan ini kepada saya. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya,” katanya sambil berkongsi artikel pelantikan Marhamah yang baru diumum membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan pada Selasa.-17/12/2025



