
OCC sokong ketegasan MCMC demi lindungi kanak-kanak
Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melindungi kanak-kanak dan keluarga di persekitaran alam siber disambut baik oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, OCC menegaskan langkah MCMC mengikut seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) bertepatan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi.
MCMC sebelum ini menegaskan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan aplikasi, berkuat kuasa mulai 1 Januari ini selaras dengan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).
Menurut OCC, dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab itu turut merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial.
Oleh itu, jelas OCC, platform digital yang memudahcara interaksi dalam talian berskala besar memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau
menjejaskan kesejahteraan mereka.
OCC menegaskan, penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan platform mereka, dalam aspek reka bentuk dan tetapan secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak.
“Ini termasuk pelaksanaan perlindungan bersesuaian mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, menangani risiko eksploitasi seksual dalam talian dan penderaan, memastikan perantaraan kandungan yang kukuh, serta menyediakan mekanisme pelaporan dan remedi yang mudah diakses.
“Kepentingan terbaik kanak-kanak, sepertimana yang termaktub di bawah Artikel 3 CRC perlu menjadi panduan kepada dasar platform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan,” jelas OCC.
Peruntukan Deeming perkukuh prinsip tanggungjawab setara
OCC menambah, Peruntukan Deeming yang diperkenalkan oleh MCMC mengukuhkan prinsip bahawa platform yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara.
OCC berkata, pihaknya menyokong usaha MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka.
Menurutnya, OCC sedia untuk mengukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanakkanak.
Tegas OCC, melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia.-17/12/2025



