
99 peratus penerima menggunakan SARA
Sebanyak 99 peratus penerima menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad dengan nilai perbelanjaan mencecah hampir RM6.5 bilion setakat 17 Disember 2025.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hampir 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) layak menerima bantuan iaitu jumlah kelayakan tahunan sebanyak RM5 bilion, dengan perbelanjaan yang dibuat sebanyak RM4.59 bilion sekali gus menunjukkan kadar penggunaan hampir menyeluruh.
“Program ini mudah digunakan hanya dengan MyKad termasuk oleh warga emas dan golongan rentan. Malah, kadar penggunaan tertinggi direkodkan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan purata tuntutan mencecah 100 peratus,” katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai keberkesanan pelaksanaan SARA serta status baki perbelanjaan bantuan berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, bagi penghargaan SARA secara sekali beri, lebih 20 juta daripada 22 juta rakyat Malaysia dewasa layak membelanjakan bantuan tersebut bersamaan 92 peratus penerima, dengan nilai perbelanjaan melebihi RM1.91 bilion.
Bagaimanapun, Amir Hamzah mengingatkan perbelanjaan SARA bulanan dan Penghargaan SARA tidak boleh dibawa ke tahun hadapan dan perlu dihabiskan dalam tahun semasa atau sebelum 31 Disember 2025.-18/12/2025



