
Tiada tempoh bulan madu buat barisan Kabinet baharu
Semua menteri yang baharu dilantik atau bertukar portfolio perlu meneliti secara menyeluruh aspek pengurusan serta dasar kementerian masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Katanya, walapun Perdana Menteri tidak menetapkan sebarang tempoh khusus, namun tiada tempih bulan madu diberikan kepada anggota Jemaah Menteri yang baharu.
“Perdana Menteri mengalu-alukan semua menteri baharu dan memberi peringatan tegas supaya tidak membuat keputusan dalam tempoh terlalu singkat.
“Berikan ruang kepada pegawai dan penjawat awam menyampaikan pandangan sebelum sebarang keputusan dasar dibuat.
“(Namun), tiada tempoh khusus diberikan (kepada mereka), tetapi sangat jelas ‘no honeymoon’ rakan-rakan menteri baharu,” katanya memetik laporan.
Fahmi menjelaskan ada dalam kalangan menteri baharu yang masih belum benar-benar memahami sistem dan tatacara Mesyuarat Jemaah Menteri.
Justeru, penelitian sedang dilakukan bagi memastikan kefahaman menyeluruh sebelum keputusan penting diambil.
“Namun saya percaya Perdana Menteri akan memantau secara dekat melalui Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memastikan sebarang isu pentadbiran dalam kalangan anggota Kabinet dapat diuruskan dengan segera,” katanya.
Fahmi turut memaklumkan satu pemukiman Jemaah Menteri akan diadakan pada Januari tahun depan bagi memastikan hala tuju, objektif dan matlamat kerajaan yang ditegaskan Perdana Menteri dapat difahami sepenuhnya oleh semua anggota Kabinet.
“Pemukiman ini juga bagi memberi ruang kepada semua menteri membuat persiapan rapi dalam menghadapi cabaran serta pelaksanaan agenda kerajaan bagi tahun 2026,” katanya.-19/12/2025



