
Kadar tol di 10 lebuhraya utama tak berubah…
Menjelang tahun baru 2026 antara yang boleh buat ramai tarik nafas lega ialah kadar tol di 10 lebuh raya utama di seluruh negara kekal tidak berubah.
Khabar gembira ini dimaklum oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
10 lebuh raya itu ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Selain itu, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) serta Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis Alexander kata “keputusan ini selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, yang kerajaan bersetuju supaya rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada tanpa sebarang kenaikan.
“Perkara ini kemudian telah dipersetujui secara retrospektif dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam, bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan kadar tol itu.”
Beliau menjelaskan kerajaan perlu menanggung implikasi kewangan yang besar dengan pampasan berjumlah RM591.56 juta bagi 2026 dengan keputusan itu.
Katanya kerajaan tetap memilih untuk mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.” – 18/12/2026



