YANG VIRAL

Banjir: Perlu sentiasa waspada dan patuhi arahan berpindah- PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan penduduk terjejas banjir supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, selain segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan demi keselamatan diri serta keluarga.

Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan MADANI melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyelaras tindakan segera bersama agensi berkaitan bagi tujuan itu.

Antara langkah diambil termasuk hebahan awal sistem pesanan ringkas (SMS) kecemasan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyaluran bantuan kebajikan serta keperluan asas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan pengoperasian pam kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengawal paras air serta mengurangkan risiko banjir.

Tambah beliau, situasi banjir itu akan terus dipantau rapi dan bantuan akan disalurkan sebaik serta secepat mungkin.

“Saya amat terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini serta nasib penduduk yang terjejas.

“Penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang sedang bertungkus-lumus di lapangan demi membantu penduduk yang terjejas.

“Mohon mendoakan agar musibah ini segera reda dan mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, risiko kejadian banjir dijangka kekal tinggi susulan luruan Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku ketika ini, khususnya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, taklimat ringkas berhubung status banjir dan perkembangan luruan monsun telah disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember.

Fahmi berkata, hujan lebat berterusan dijangka memberi kesan kepada beberapa negeri termasuk Kelantan hingga Johor dalam tempoh terdekat.

“Pada ketika ini, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan sedang berada di Kuantan bagi meneliti situasi banjir di kawasan terlibat.

“Lawatan itu bertujuan memastikan pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS), khususnya melibatkan penggunaan sekolah berjalan lancar, selain memastikan persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tergendala,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri Kota Media pada Khamis.-19/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button