SUARA PEMBACA

Pencapaian PETRA: Menjamin air dan tenaga untuk kesejahteraan rakyat

SATU perkara yang amat penting namun sering dipandang sepi ialah kejayaan kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam memastikan rakyat Malaysia terus menikmati bekalan elektrik, air dan perkhidmatan pembetungan yang terjamin, selamat, mampan serta paling utama pada kadar yang mampu dibayar.

Air dan tenaga merupakan dua sumber kritikal negara. Jika gagal diurus secara cekap dan bersepadu, kesannya bukan sahaja besar malah menelan kos yang tinggi.

Pengajaran jelas dapat dilihat daripada tragedi banjir besar di Sumatera, di mana selepas tiga minggu, bekalan elektrik dan air bersih masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya, menyebabkan proses rehabilisasi tidak dapat dilaksanakan tanpa belakan elektrik manakala air mineral terpaksa dijual sehingga RM5 seliter.

Situasi ini membuktikan bahawa keselamatan air dan tenaga bukan isu remeh, sebaliknya berkait langsung dengan kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi.

Di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, kementerian ini menyelia tujuh agensi sektor air dan tiga agensi sektor tenaga yang menjadi tulang belakang kepada keselamatan sumber asas negara.

Bagi sektor air, agensi terlibat ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Manakala sektor tenaga diterajui oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), Sustainable Energy Development Authority Malaysia (SEDA) dan MyPOWER Corporation (MyPOWER).

Pencapaian sepanjang dua tahun PETRA memperkasa agenda MADANI

Sepanjang tempoh dua tahun PETRA dalam memperkasa pelaksanaan agenda MADANI, sektor air dan tenaga mencatat pelbagai pencapaian penting merangkumi peralihan tenaga, pembaharuan tarif, kecekapan tenaga serta pengukuhan dasar dan kawal selia.

Antara kejayaan signifikan ialah peluasan Water Efficiency Product Labelling Scheme (WEPLS) oleh SPAN. Skim pelabelan ini membantu pengguna mengenal pasti produk rumah tangga yang cekap air, sekali gus menyumbang kepada penjimatan sehingga 85 peratus.

Produk seperti paip, tandas, pancuran dan mesin basuh dinilai serta dilabel satu hingga tiga bintang berdasarkan tahap penggunaan air.

Indah Water Konsortium (IWK) pula melaksanakan Program Fats, Oils and Grease (FOG) yang berjaya mengurangkan gangguan aliran kumbahan di kawasan komersial. Inisiatif Solar di Loji Rawatan Kumbahan (LRK) turut membantu mengurangkan kos tenaga operasi sehingga 15 peratus. Pada masa sama, IWK terus meningkatkan tahap rawatan kumbahan melalui lebih 7,000 LRK di seluruh negara.

Satu pencapaian yang jarang diketengahkan ialah kejayaan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) melalui Projek Papan, iaitu sistem pembetungan berasaskan tanah lembap buatan (constructed wetlands).

Projek ini menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Largest Constructed Wetland System dan Longest Wetland Flow Path, sekali gus menonjolkan keupayaan JPP membangunkan penyelesaian lestari khususnya untuk komuniti luar bandar.

Tebatan banjir berasaskan data

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir dengan pendekatan reka bentuk berasaskan data ramalan hujan masa hadapan.

Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) turut dinaik taraf dan kini mampu meramal kejadian banjir sehingga tujuh hari lebih awal.

Sebanyak 149 projek tebatan banjir telah dilaksanakan, melindungi kira-kira 1.77 juta penduduk. Selain itu, 1,308 kilometer Denai Sungai Kebangsaan dibangunkan selaras dengan aspirasi rekreasi sungai negara, manakala 2,663 kilometer pemuliharaan sungai dilaksanakan bagi memulihkan ekosistem, mengurangkan pencemaran serta memelihara flora dan fauna akuatik.

Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pula berjaya membangunkan GEO-PROTECT V2, sebuah sistem analitik masa nyata bagi meramal risiko banjir dan geobahaya, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negara.

Kajian mikroplastik di sungai-sungai utama turut memberikan gambaran awal risiko terhadap keselamatan sumber air minuman.

Di Sabah dan Labuan, Jabatan Bekalan Air (JBA) menyelesaikan sembilan projek kritikal melibatkan penggantian pam, transformer, panel elektrik serta paip Mild Steel Cement Lining (MSCL).

Projek-projek ini meningkatkan tekanan air, mengurangkan gangguan bekalan dan memperkukuh kebolehpercayaan sistem agihan air khususnya di kawasan pedalaman dan bertekanan rendah.

Pelaksanaan Pelan Transformasi Sektor Air (AIR2040) memperkenalkan hala tuju baharu pengurusan air negara dengan tumpuan kepada pengurusan lembangan sungai, pemantapan kualiti air, pembaikan sistem pembetungan serta pembangunan data hidrologi berpusat. AIR2040 menyasarkan Malaysia sebagai hab air serantau dan global menjelang 2040, selain memperkenalkan pelarasan tarif air baharu berkuat kuasa 1 Ogos lalu, termasuk tarif khas bagi pusat data.

Kerajaan MADANI turut meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654) bagi memperkukuh kawal selia, memperberat hukuman terhadap pencemaran serta meningkatkan kecekapan SPAN. Pindaan ini juga membuka ruang kepada model pembiayaan baharu dan meningkatkan keberkesanan pengawalseliaan industri air.

Memperkasa vendor tempatan melalui PAAB

Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memainkan peranan strategik dalam menaik taraf infrastruktur air negara. Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, PAAB menambah rizab air melalui penyiapan 21 Loji Rawatan Air berkapasiti 2,081 Juta Liter Sehari (JLH), pemasangan serta penggantian 3,126 kilometer paip uzur dan 1,657 kilometer paip kritikal, sekali gus membantu mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).

Di peringkat korporat, PAAB melaksanakan dua inisiatif strategik iaitu Vendor Financing Program dan Vendor Development Program. Vendor Financing Program dilaksanakan dengan kerjasama institusi kewangan bagi membantu pembangunan vendor dari aspek kewangan.

Memorandum Persefahaman pertama telah dimeterai antara PAAB dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada 6 November 2025 dengan peruntukan awal RM100 juta bagi tahun 2026.

Vendor Development Program pula menyediakan latihan tatacara tender PAAB secara komprehensif. Sehingga suku ketiga 2025, seramai 52 organisasi Bumiputera dan bukan Bumiputera telah menyertainya, sekali gus memperkukuh ekosistem vendor tempatan dalam projek infrastruktur air.

Dalam sektor tenaga, antara pencapaian utama ialah Program Solar Berskala Besar (LSS PETRA 5 dan 5+) yang menjana 3.9 gigawatt (GW) tenaga boleh baharu dengan pelaburan RM12 bilion, selaras dengan sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 pula menyediakan kapasiti solar sebanyak 2,500 megawatt (MW) kepada pengguna, manakala Skim Solar Atap membolehkan pengguna menjana elektrik sendiri serta menerima kredit bagi lebihan tenaga yang disalurkan ke grid nasional.

Kestabilan grid dan reformasi tarif elektrik

PETRA bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) turut melaksanakan bidaan terbuka Projek Penyimpanan Tenaga (MyBEST) bagi memastikan kestabilan grid sejajar dengan peningkatan tenaga boleh baharu.

Struktur tarif elektrik baharu berasaskan prinsip user pay turut diperkenalkan dan berkuat kuasa 1 Julai lalu, dengan impak minimum kepada 85 peratus pengguna domestik serta insentif kecekapan tenaga kepada isi rumah dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Selain itu, pengenalan Automatic Fuel Adjustment (AFA) menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), membolehkan pelarasan kos bahan api dibuat secara bulanan berbanding enam bulan sebelum ini.

Keseluruhannya, setiap agensi di bawah PETRA memainkan peranan kritikal dalam menjamin keselamatan air dan tenaga negara berteraskan empat objektif utama: keterjaminan bekalan yang konsisten, keselamatan infrastruktur dan kualiti, kemampanan sumber melalui tadbir urus berkesan, serta kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kualiti hidup.

Melalui pemerkasaan dasar, penyelidikan saintifik, pembangunan infrastruktur, peluasan tenaga boleh baharu dan transformasi pasaran tenaga, PETRA terus menjadi pemacu utama kepada masa depan Malaysia yang selamat, stabil dan mampan—dengan AIR2040 dan NETR sebagai panduan hala tuju negara ke hadapan.-22/12/2025

HELME HANAFI adalah wartawan veteran yang menulis di media cetak dan elektronik sejak tahun 2000.

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button