
Isu terbaru berkaitan DNAA Zahid… ini kenyataan Jabatan Peguam Negara
Keputusan untuk memohon pelepasan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, permohonan DNAA yang dikemukakan kira-kira dua tahun lalu dibuat berdasarkan keadaan semasa ketika itu, termasuk keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurut AGC, kenyataan tersebut dikeluarkan bagi merujuk laporan sebuah portal berita yang menyatakan satu permohonan semakan kehakiman telah difailkan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Zahid.
“Permohonan semakan kehakiman itu membangkitkan isu berkaitan kemajuan dan hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA berkenaan dibuat,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses pengadilan, menangani perkara berkenaan melalui saluran undang-undang yang ditetapkan serta mematuhi sebarang arahan atau keputusan mahkamah.
Untuk rekod, pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Zahid daripada 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap tertuduh.-23/12/2025



