
Keberanian GSF diharap terus nyalakan sokongan kepada Gaza
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap keberanian misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terus menyala untuk mesyarakat terus berdiri teguh bersama Gaza.
Jelasnya menerusi hantaran di Facebook, situasi itu dalam memastikan keadilan tertegak di bumi Palestin yang merdeka akibat daripada tindakan tidak bermoral Israel.
“Tatkala kuasa-kuasa besar dunia membisu bahkan menghukum mereka yang bersuara menentang kezaliman rejim Zionis, Malaysia tampil secara terbuka menyokong misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
“Apabila flotilla diserang Israel pada 2 Oktober lalu dan menahan sukarelawan kemanusiaan termasuk 23 anak Malaysia, kita bergerak pantas tanpa berlengah.
“Setiap saat dimanfaatkan untuk merangka strategi, menggerakkan saluran diplomatik dan memastikan keselamatan mereka menjadi keutamaan mutlak negara.
“Keberanian mereka membelah lautan dan keteguhan jiwa mereka memperjuangkan nasib saudara kita di Palestin meskipun diperlakukan secara biadab dalam tahanan Israel, menjadi cerminan kekuatan solidariti Malaysia,” katanya.
Pelayaran GSF membabitkan penyertaan sukarelawan daripada 45 negara membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin serta Asia Barat.
Seramai 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis dalam konvoi itu, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean, sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Pada Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini, lebih 140 negara menyokong resolusi berkaitan penyelesaian dua negara, menolak keganasan dan menyatakan sokongan jelas terhadap masa depan Palestin.
Beberapa negara Barat yang sebelum ini enggan membuat langkah rasmi turut mengumumkan pengiktirafan atau tindakan diplomatik menyokong Palestin termasuk United Kingdom (UK), Kanada, Australia, Portugal dan Perancis, selain negara Eropah kecil seperti Malta, Belgium, Andorra dan Monaco.-23/12/2025



