
Menteri-Menteri Luar ASEAN gesa Kemboja-Thailand henti permusuhan
Menteri-Menteri Luar ASEAN sebulat suara menggesa Kemboja dan Thailand supaya menghentikan permusuhan serta mengambil langkah segera demi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ke arah itu satu Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan diadakan pada 24 Disember ini bagi membincangkan pelaksanaan serta pengesahan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
Malaysia bersama negara-negara anggota ASEAN, mengalu-alukan perbincangan bagi meneruskan semula gencatan senjata serta pemberhentian semua bentuk pertikaian melibatkan kedua-dua negara itu.
“Mesyuarat itu menyeru kedua-dua negara supaya memulihkan semula kepercayaan dan keyakinan bersama, kembali ke meja rundingan termasuk melalui mekanisme dua hala serta memanfaatkan peranan Pengerusi ASEAN.
“Kedua-dua pihak juga digesa menghidupkan semula kerjasama, melaksanakan langkah meredakan ketegangan ketenteraan di sepanjang sempadan serta menghormati prinsip undang-undang antarabangsa. Kewujudan bersama secara aman dan kerjasama pelbagai hala mampu mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand di ibu negara.
Mesyuarat itu turut menyatakan harapan agar usaha mengurangkan ketegangan dapat dicapai dengan segera demi memastikan keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ASEAN terus terpelihara.
Turut berlangsung, siri pertemuan dua hala mengenai situasi semasa Kemboja dan Thailand termasuk pertemuan antara Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, dan Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow mengenai usaha kolektif ASEAN menyelesaikan pertikaian kedua negara secara aman demi kestabilan serantau.-23/12/2025



