
Kenyataan pemimpin DAP ulas kes Najib buat pemimpin UMNO geram
Kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, berkait Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, terus mengundang kemarahan pimpinan UMNO termasuk Pahang yang menyuarakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap tindakan disifatkan sebagai biadab itu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri itu bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Ia membabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang disabitkan ke atas Najib yang juga bekas Presiden UMNO.
Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong, kemudian memuat naik hantaran berbunyi: ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) yang dipaparkan bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).
Beberapa pemimpin tertinggi UMNO terus respon dengan geram hantaran Ahli Parlimen Puchong daripada DAP itu.
Antaranya adalah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Menteri Pendidikan Tinggi itu mempersoalkan mengapa Bee Yin perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian seolah-olah bergembira atas penderitaan dialami Najib.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain.
“Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tindakan Bee Yin itu bukan saja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab dan sensitiviti sehingga menyentuh perasaan banyak pihak, terutama ahli keluarga Najib serta ahli UMNO.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang, menekankan bahawa keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik murahan.
“Meraikan keputusan itu dengan ejekan serta sindiran merupakan satu perbuatan yang hanya menampakkan ketidakmatangan dan kekeringan nilai seorang wakil rakyat.
“Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong yang akhirnya menyebabkan diri yang begitu angkuh itu tenggelam dalam kesombongan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Rosdy sekali gus menegaskan UMNO Pahang akan terus berdiri teguh, tidak goyah dan tidak sesekali berundur dalam memberikan sokongan kepada Najib.
“UMNO Pahang akan meneruskan usaha mencari keadilan buat Datuk Seri (Najib),” katanya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut berang dengan kenyataan Bee Yin .
Justeru, beliau menggesa agar UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan dengan menjadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina oleh rakan sekutu.
“Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sajalah sokongan daripada kerajaan ini.
“Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina dari puak-puak bebal ini,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya.-23/12/2025



