
Keputusan kes titah adendum Najib tidak nafikan kuasa Raja
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pengesahan titah adendum bagi menjalani tahanan rumah adalah selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pakar undang-undang, Salim Bashir menegaskan, keputusan tersebut juga sama sekali tidak menafikan kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Jelas beliau, mahkamah menilai kes berkenaan berdasarkan kerangka perlembagaan yang memperincikan kuasa pengampunan serta tatacara pelaksanaannya.
Salim yang juga bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia berkata, titah adendum yang dikemukakan dalam kes tersebut berada bawah bidang kuasa pelaksanaan pihak penjara dan bukan diputuskan melalui Lembaga Pengampunan.
“Mahkamah berpendirian bahawa titah adendum yang menitahkan Datuk Seri Najib menjalani tahanan rumah tidak diputuskan melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Oleh sebab itu, dari sudut perlembagaan, pelaksanaannya tidak memenuhi kehendak Perkara 42,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan mahkamah itu tidak mengehadkan atau mencabar kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Menurutnya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Raja.
Namun, pelaksanaan kuasa tersebut perlu dibuat mengikut nasihat dan prosedur yang ditetapkan melalui Lembaga Pengampunan, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Kuasa Raja kekal utuh, tetapi pelaksanaannya hendaklah dibuat secara berperlembagaan dan melalui mekanisme yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Salim turut menjelaskan, kes Datuk Seri Najib Tun Razak berbeza daripada kes-kes terdahulu kerana ia melibatkan dakwaan titah adendum yang tidak diputuskan dalam sidang rasmi Lembaga Pengampunan.
“Dalam kes-kes sebelum ini, mahkamah mengiktiraf kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila keputusan dibuat melalui proses Lembaga Pengampunan.
Dalam kes ini, proses tersebut tidak berlaku,” jelasnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib untuk mengesahkan titah adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa titah berkenaan tidak sah kerana tidak diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Januari lalu, sekali gus tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.-23/12/2025



