
Lagi hu ha berkaitan Titah Adendum… ini kata Jabatan Peguam Negara
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak kenyataan peguam Datuk Seri Najib Razak bahawa penolakan semakan kehakiman Titah Adendum telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertua Agong (YDPA), Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri (YDPN).
AGC dalam kenyataan pada Selasa menegaskan, apa dikatakan peguam Najib tidak benar sama sekali dan tak mencerminkan alasan sebenar yang telah diberikan oleh Mahkamah Tinggi.
Jelasnya, semasa menolak permohonan, mahkamah telah menekankan bahawa pengampunan adalah kuasa prerogatif YDPA yang mana terjamin di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Namun, katanya, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dalam menjalankan kuasa prerogatif, YDPA, Raja-Raja Melayu dan YDPN akan bersidang bersama Lembaga Pengampunan untuk memutuskan permohonan pengampunan.
“Berkenaan kes Najib, Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Ke-61 jelas mendedahkan bahawa perihal berhubung tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau dititahkan oleh YDPA ke-16 semasa mesyuarat tersebut.
“Mesyuarat tersebut hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh oleh Datuk Seri Najib dan titah YDPA ke-16 pada ketika itu hanyalah supaya hukuman penjara dan denda dikurangkan sebanyak 50 peratus.
“Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa titah tambahan untuk tahanan rumah tidak dibuat berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memandangkan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat dan tidak diputuskan oleh YDPA ke-16 dalam mesyuarat yang sama,” katanya hari ini.
AGC menambah, ini jelas menunjukkan bahawa, keputusan mahkamah sama sekali tidak mengurangkan kuasa YDPA, Raja-Raja Melayu atau YDPN dalam memberikan pengampunan terhadap seseorang pesalah.
“Malahan, yang arif hakim dalam penghakiman lisannya telah mengiktiraf kuasa prerogatif YDPA, Raja-Raja Melayu serta YDPN tersebut. Kuasa pengampunan ini tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak lain.
“Namun begitu, selaras dengan konsep raja berperlembagaan, kuasa pengampunan tersebut perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat Perlembagaan sebagaimana dinyatakan di bawah Perkara 42 PP,” katanya lagi.
Oleh itu, Jabatan ini ingin menegaskan sebarang tindakan cuba menghasut dan menggugat ketenteraman awam dengan tafsiran yang salah terhadap penghakiman mahkamah adalah amat tidak wajar.
“Semua pihak perlu menghormati tindakan untuk merayu yang telah diambil oleh Datuk Seri Najib.
“Dalam hal ini, jabatan ini akan terus komited mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” katanya.-24/12/2025



