FOKUS

Isu Titah Adendum: Masyarakat perlu hormati keputusan mahkamah

Semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah, terutama berhubung isu Titah Adendum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan masyarakat wajar menghormati keputusan yang dibuat hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini.

“Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan di laman Facebook.

Tegas Perdana Menteri, Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.

Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.

“Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib berhubung dakwaan kewujudan Titah Adendum yang membenarkan beliau menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum yang didakwa itu tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Berikutan keputusan tersebut, Datuk Seri Najib perlu meneruskan baki hukuman penjara di Penjara Kajang.-24/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button