YANG VIRAL

Kerajaan MADANI pastikan pelaburan beri pulangan kepada rakyat

Komitmen Kerajaan MADANI adalah memastikan setiap pelaburan memberi pulangan yang bermakna kepada rakyat, hari ini serta masa depan negara, demikian dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran Facebook memaklumkan pelaburan ​yang dibawa masuk Kerajaan MADANI bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi turut diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat.

“Ia mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup, serta membina kuasa ekonomi baharu yang lebih berdaya saing dan inklusif,” menurut hantaran itu.

Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut memuat naik beberapa infografik berkaitan pencapaian pelaburan negara bagi sembilan bulan pertama tahun 2025.

Antara paparan infografik ialah prestasi pelaburan Malaysia diluluskan mencecah RM285.2 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, meningkat 13.2 peratus sekali gus mengatasi rekod tertinggi sebelum pra-COVID antara tahun 2006 hingga 2020.

Selain itu, infografik bertajuk ‘Keyakinan Global: Gergasi Ekonomi Memilih Malaysia’ turut memaparkan hasil tujuh misi pelaburan luar negara sepanjang tempoh berkenaan yang menjana potensi pelaburan bernilai RM24.5 bilion.

Sektor bernilai tinggi juga dikenal pasti sebagai pemacu utama ekonomi masa hadapan apabila menyumbang RM137.9 bilion atau 48.4 peratus daripada jumlah pelaburan yang direkodkan.-24/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button