
Mat Hasan masuk gelanggang… tunggu nak rai kes ‘terowong’
Makin panas berbalas pantun antara dua parti pendukung kerajaan MADANI iaitu, UMNO dan DAP selepas kes Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.
Yang terkini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pula membalas sindiran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang ingin meraikan secara terbuka keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah Adendum.
Menerusi hantaran di Facebook, Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat berkata beliau sedang menunggu untuk meraikan keputusan mahkamah berhubung isu Terowong Pulau Pinang.
Meskipun tidak menyatakan lebih lanjut mengenai hantaran itu namun ia dipercayai merujuk kepada perbicaraan rasuah melibatkan penasihat DAP, Lim Guan Eng dalam kes Terowong Pulau Pinang.
“Saya pun tunggu nak celebrate apabila Mahkamah merasmikan Terowong Pulau Pinang, mungkin pertengahan tahun 2026,” kata Menteri Luar itu.
Entri itu menarik lebih 1,800 komen dan dikongsi 695 kali terutama oleh penyokong Umno.
Tok Mat menaikkan hantaran berkenaan susulan kekecewaan pemimpin Umno mengenai komen yang dibuat oleh segelintir pemimpin DAP berhubung keputusan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung titah Adendum.
Malah kenyataan yang dibuat Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu mencetuskan kemarahan pemimpin UMNO yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar, biadap dan mencerminkan keangkuhan politik serta tidak sensitif.
Keadaan menjadi panas apabila bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menyatakan keputusan itu mencerminkan keadilan dan peranan yang dimainkan DAP dalam usaha menjatuhkan kleptokrasi di negara ini.
“Kepada mereka yang mengecam kami agar mempunyai “kemanusiaan”, tetapi masih terus menyayangi penjenayah tersebut tiada siapa yang menghalang anda.
“Namun, jangan halang kami, rakyat Malaysia yang lain, daripada meraikan keadilan yang telah ditegakkan,’’ katanya.
Antara yang membidas kenyataan berkenaan termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya ‘jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak’.
Berikutan itu, Dr Akmal meminta semua perwakilan supaya membawa isu supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang dijadualkan Januari ini.-24/12/2025



