
Gerakan kultus agama semakin agresif sasar golongan belia
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) memberi amaran mengenai penularan gerakan kultus agama dari Korea Selatan yang semakin agresif menular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Pejabat Mufti WP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan gerakan kultus berkenaan menjadikan golongan belia dan pelajar universiti di sekitar Lembah Klang sebagai sasaran utama.
“Modus operandi gerakan tersebut disifatkan sebagai licik dan sukar dikesan di peringkat awal kerana sering berselindung di sebalik aktiviti kebajikan, seminar psikologi atau kelab kebudayaan antarabangsa.
“Jemputan ke kelas ‘kajian Bible’ juga selalunya menjadi perangkap utama untuk merekrut ahli baharu,” kata pejabat itu menerusi penulisan artikel Ancaman ‘Kultus Korea’ di Malaysia yang dimuat naik di laman webnya, hari ini.
Sehubungan itu, pejabat itu menegaskan gerakan sedemikian wajar diklasifikasikan sebagai ancaman keselamatan sosial yang serius.
Pejabat Mufti turut menggesa pihak berwajib memberikan perhatian serius dan tidak memandang enteng strategi halus yang digunakan untuk mengindoktrin anak muda.
“Mereka bukan sekadar menyebarkan ajaran yang menyeleweng. Malah, mereka berpotensi memecah-belahkan struktur kekeluargaan masyarakat,” katanya.
Tegas pejabat itu, tindakan kolektif yang bersepadu diperlukan untuk menangani ancaman kultus dari luar itu.-24/12/2025



