
Selangor, Putrajaya catat kos sara hidup tertinggi – DOSM
Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kos sara hidup tertinggi merentasi semua kategori isi rumah, berdasarkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) 2024.
Manakala, Pulau Pinang berada dalam kelompok teratas bagi kebanyakan kategori.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), PAKW merupakan indikator baharu dalam penerbitan Indikator Kos Sara Hidup, bertujuan mengukur tahap perbelanjaan yang diperlukan bagi mengekalkan kehidupan wajar di pelbagai lokasi.
“Analisis Indeks PAKW menetapkan Kuala Lumpur sebagai rujukan pada nilai 100 mata bagi memahami perbezaan tahap kos sara hidup antara negeri, ibu negeri, dan daerah pentadbiran.
”Nilai indeks lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan yang rendah untuk mengekalkan kehidupan wajar berbanding nilai rujukan, manakala nilai yang lebih tinggi mencerminkan keperluan perbelanjaan yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks tertinggi pada 92.0 mata, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1), manakala Kelantan, Sarawak dan Kedah merekodkan nilai terendah.
”Selangor turut mendominasi kategori isi rumah dua, tiga dan empat orang dengan julat sekitar 91.3 hingga 92.4 mata indeks.
”Putrajaya secara konsisten berada dalam tiga teratas bagi semua saiz isi rumah, dengan julat indeks sekitar 83.1 hingga 84.8 mata,” katanya.
Sebaliknya Kelantan, Kedah, Perlis dan Sabah berada pada paras lebih rendah tetapi masih mencerminkan kehidupan yang wajar.
Berdasarkan indeks sama, kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.
”Jika isi rumah seorang yang tinggal di Kuala Lumpur berbelanja RM1000, ia hanya memerlukan nilai PAKW RM537 jika tinggal di Kelantan.
”Bagi perbandingan isi rumah empat orang, sebanyak RM609 nilai PAKW diperlukan sekiranya tinggal di Perlis,” jelasnya.
Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, manakala Pantu di Sarawak dikenal pasti sebagai daerah dengan kos kehidupan wajar terendah.
Di peringkat ibu negeri, Shah Alam merekodkan Indeks PAKW tertinggi bagi semua saiz isi rumah dan melepasi nilai rujukan Kuala Lumpur, manakala Kangar kekal sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar terendah.-25/12/2025



