
Skandal pemain warisan… FAM berdepan krisis kewangan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan krisis kewangan melebihi RM8 juta susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkaitan penggunaan tujuh pemain naturalisasi yang didakwa menggunakan dokumen dipalsukan.
Badan induk itu dikenakan denda RM1.8 juta oleh FIFA dan kini turut menanggung kos guaman tinggi bagi mencabar hukuman terbabit di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pengkritik sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata FAM sudah membelanjakan atau bakal menanggung lebih RM3 juta membabitkan yuran pemfailan, khidmat guaman serta denda asal yang dikenakan.
“Denda bernilai jutaan ringgit, penggantungan pemain, kejatuhan nilai pasaran serta potensi kemerosotan ranking Harimau Malaya benar-benar menggoncang FAM,” katanya.
FIFA mengesahkan tujuh pemain terbabit – Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmero – masing-masing didenda RM10,200 serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Pakar perundangan memberi amaran bahawa proses rayuan di CAS sahaja boleh menelan belanja melebihi RM1.2 juta, termasuk yuran pendaftaran, bayaran peguam dan keterangan pakar.
Impak kewangan turut membabitkan pemain, apabila nilai pasaran mereka menjunam kepada kosong
Kelab Unionistas de Salamanca sudah menamatkan kontrak Palmero, manakala Machuca, Holgado dan Figueiredo berdepan potensi kehilangan gaji mencecah ratusan ribu ringgit.
FIFA juga membatalkan keputusan perlawanan Harimau Malaya menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin, dengan semua perlawanan direkodkan sebagai kekalahan 0-3.
Akibatnya, Malaysia jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-121 dunia.
Pemain yang digantung juga berpotensi menuntut pampasan daripada FAM atas kehilangan pendapatan, sekali gus menambah liabiliti kewangan persekutuan itu kepada jutaan ringgit.
Seorang peguam timbang tara sukan berkata jumlah keseluruhan kos akibat sekatan, proses rayuan dan kehilangan nilai pasaran boleh melepasi RM8 juta.
Menurut Pekan, kerosakan terhadap reputasi Malaysia jauh lebih sukar dipulihkan berbanding kerugian kewangan.
“FAM mungkin memerlukan satu atau dua dekad untuk memulihkan imej negara di pentas antarabangsa.
“Penaja boleh menarik diri, sokongan peminat mungkin merosot akibat isu integriti, dan akan timbul keraguan terhadap program naturalisasi pada masa hadapan,” katanya.-26/12/2025



