YANG VIRAL

Kerajaan MADANI komited tingkat kesejahteraan rakyat Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan MADANI terus komited memacu kesejahteraan rakyat Sarawak melalui pelaburan strategik, pembangunan ekonomi inklusif serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Beliau berkata, komitmen itu termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pengurusan sumber minyak yang adil bagi memastikan manfaat ekonomi terus sampai ke rakyat.

“Setiap inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk membina Sarawak lebih maju, mampan, dan sejahtera, demi manfaat hari ini dan generasi akan datang.

“Transformasi nyata untuk rakyat Sarawak sedang berjalan, dan kita semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini,” menurut Anwar menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Sarawak menjadi antara fokus utama pembangunan nasional melalui lawatan berkala beliau ke Kuching, Bintulu dan Miri, selain pemeteraian memorandum persefahaman pelaburan global serta pengumuman projek strategik melibatkan sektor tenaga dan industri berat.

Ekonomi tenaga hijau Sarawak dilihat terus berkembang dengan pelaksanaan projek Solar Terapung Batang Ai bernilai RM184 juta, selain kemasukan pelaburan dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah dalam bidang hidrogen hijau.

Dalam sektor minyak dan gas, peranan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) diperkuat dengan kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), sekali gus membuka ruang penerokaan baharu, pembangunan gas serta perkongsian hasil yang lebih jelas bagi meningkatkan perolehan negeri.

Projek hidrogen hijau Sarawak juga diiktiraf sebagai peneraju Asia, menjadikan negeri itu kuasa tenaga masa depan Malaysia.

Anwar menambah, pelaburan strategik dan pembangunan industri berimpak tinggi turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kemahiran kepada rakyat Sarawak, termasuk dalam sektor tenaga hijau, semikonduktor, elektrik dan elektronik, hab metanol dan hidrogen, serta pengukuhan sektor logistik dan aeroangkasa di koridor Kuching-Bintulu-Miri.

Selain itu, pembangunan kemudahan rakyat turut menjadi fokus utama melalui Program Perumahan Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat yang diperluas, manakala skim Step-Up Financing memudahkan belia Sarawak memiliki rumah pertama. Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya keluarga di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, hak dan autonomi Sarawak melalui MA63 terus diperkasa dan dipercepatkan menerusi rundingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, termasuk penyusunan semula kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan serta peningkatan peruntukan khas kepada negeri. Ini mengiktiraf Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia.-26/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button