TAHUKAH ANDA

Meludah di tempat awam sekitar ibu kota boleh dikompaun RM2,000, perintah khidmat masyarakat mulai 1 Januari

Bermula 1 Januari ini, sesiapa sahaja yang membuang sampah dan meludah di tempat awam di sekitar ibu kota, bakal dikenakan tindakan kompaun sehingga RM2,000 selain Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam selama enam bulan.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Nor Halizam Ismail, berkata sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), DBKL akan mempergiat penguatkuasaan menerusi operasi antipembuangan sampah dan operasi larangan meludah yang dijalankan secara berkala di seluruh Kuala Lumpur.

Ia khususnya di kawasan tumpuan pelancong, bagi mengekang sikap buruk warganegara dan pelancong yang sering membuang sampah kecil seperti puntung rokok dan botol minuman di tempat awam, selain meludah di kawasan pejalan kaki yang bukan sahaja mengotorkan tempat, tetapi turut mencemarkan imej negara.

“Kompaun yang kita keluarkan boleh mencecah sehingga RM2,000 bergantung kesalahan yang dilakukan.

“Tujuan kita bukan untuk menghukum semata-mata, sebaliknya ingin mendidik masyarakat untuk lebih berdisiplin dan menghormati ruang awam yang kita kongsi bersama,” katanya semasa menjadi tetamu di rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, di Kuala Lumpurn hari ini.

Nor Halizam berkata DBKL turut mewujudkan empat kawasan bebas sampah melibatkan Jalan Bukit Bintang, Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak dan kawasan komersial Brickfield, bagi memperkukuh imej bandar raya bersih dan teratur.

DBKL juga tidak berkompromi terhadap tahap kebersihan di premis makanan serta tandas awam, di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata mana-mana pemilik serta kontraktor akan dikenakan tindakan sekiranya didapati gagal mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan.

“Kita ada lebih kurang 7,450 premis makanan yang kita pantau setiap masa, untuk pastikan tidak berlakunya pencemaran makanan atau pembiakan haiwan vektor seperti tikus, lipas dan sebagainya.

“DBKL juga memandang serius terhadap kebersihan tandas awam dan akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa atau sekiranya terdapat aduan,” katanya sambil menegaskan langkah itu penting bagi memastikan keselesaan pelancong dan rakyat tempatan yang berkunjung ke ibu negara.

Mengulas pelancaran “I LITE U”, beliau berkata acara itu akan diadakan 3 Januari tahun hadapan di Pavilion Kuala Lumpur, sebagai pembuka tirai TMM 2026.

Beliau berkata program itu, diterajui DBKL dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Antara acara menarik yang kita akan bawakan ialah perarakan daripada 16 kontinjen, projek lampu atau pencahayaan bandar berkonsepkan inovasi dan teknologi, termasuk persembahan muzik dan kebudayaan Nusantara,” katanya.

Berikutan acara itu beberapa jalan sekitar ibu negara, akan terlibat dengan penutupan jalan iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Sultan, Jalan Pudu dan lalu lintas Sultan Ismail pada 1 Januari 2026, bagi latihan raptai penuh dan pada hari pelancaran bermula 6 petang hingga 12 malam.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan beramai-ramai datang ke sambutan pelancaran itu untuk memeriahkan lagi majlis.- 30/12/2025

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button