
PAS tolak jawatan EXCO, Perlis 100 peratus ditadbir Bersatu
Tindakan PAS menolak menyertai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis selepas Menteri Besarnya meletak jawatan menyebabkan Perlis kini ditadbir oleh Bersatu secara sendirian.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memaklumkan bahawa pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis akan melibatkan hanya ADUN daripada Bersatu, walaupun kedua-dua parti berada di bawah Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu susulan kenyataan media Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyatakan tiada ADUN PAS di Perlis akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bakal dilantik oleh Menteri Besar.
Jelas Abu Bakar, pelantikan EXCO akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan jumlah yang bakal dilantik adalah berdasarkan situasi terkini melibatkan ADUN Titi Tinggi, Sena, Pauh dan Tambun Tulang.
“Kita tidak akan mengecilkan. Kita melihat, mungkin kita akan satukan yang kecil-kecil tu, kita akan gabungkan. Ada juga kemungkinan portfolio yang kita akan mansuhkan, letakkan pada satu yang tidak membebankan.”
“Kelmarin, kita janji bahawa kita akan buat pelantikan dalam tempoh dua minggu, dan dalam dua minggu itu akan berlaku. Tetapi, sebenarnya kita juga menunggu isyarat. Hari ini, kita sudah jelas menerusi pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Takiyuddin, telah memberi gambaran bahawa kita perlu segerakan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” kata Abu Bakar kepada media di Kompleks Seri Putra, hari ini.
Jumlah tersebut merupakan bilangan minimum mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis manakala portfolio yang akan diberikan akan diteliti semula agar tidak membebankan.
Beliau menambah, kemungkinan wujud penggabungan beberapa portfolio yang lebih kecil atau penghapusan portfolio tertentu bagi memastikan struktur pentadbiran lebih efisien.-31/12/2025



