
Malaysia tolak pemindahan paksa rakyat Palestin
Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza, termasuk cadangan menggunakan mana-mana wilayah sebagai destinasi penempatan semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendirian Malaysia adalah selari sepenuhnya dengan sikap yang diambil oleh sebahagian besar negara serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), khususnya dalam menolak sebarang pengiktirafan terhadap wilayah yang digelar sebagai “Somaliland”.
“Malaysia menyatakan penentangan secara tegas dan menyeluruh terhadap sebarang cubaan menggunakan ‘Somaliland’, atau mana-mana wilayah lain, sebagai destinasi pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini.
Anwar menegaskan, sebarang usaha pemindahan paksa tersebut adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan, selain hanya akan memanjangkan ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan sejagat.
Mengulas perkembangan semasa di Gaza, Perdana Menteri turut memberi amaran bahawa tiada ruang untuk berlakunya kembali keganasan berskala besar.
Menurut beliau, sebarang kebangkitan semula keganasan hanya akan mengorbankan lebih ramai orang awam serta terus menghakis prospek keamanan yang sedia rapuh.
“Israel mesti dipertanggungjawabkan atas setiap tindakan dan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Sidang media khas itu diadakan bagi mengulas beberapa perkembangan antarabangsa dan tempatan, dengan isu Gaza kekal menjadi antara keutamaan pendirian Malaysia dalam mempertahankan hak rakyat Palestin serta menolak sebarang tindakan yang mencabul tatanan undang-undang antarabangsa.-31/12/2025



