FOKUS

Kementerian Pertahanan arah siasat dakwaan pesta liar di kem tentera

Belum beres isu siasatan rasuah didakwa melibatkan pegawai tinggi tentera darat baru baru ini …Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digegarkan pula dengan dakwaan pegawai tentera terlibat bawa pekerja seksual ke dewan makan pegawai untuk berpesta liar.

Isu ini timbul selepas netizen berkongsi beberapa klip video di Threads dan TikTok yang menunjukkan pesta yang didakwa berlaku di dalam kemudahan tentera.

Terdapat juga tangkapan skrin mesej yang diedarkan yang mendakwa pegawai tentera junior perlu menyediakan wanita untuk pegawai senior mereka.

Kementerian Pertananan menerusi satu kenyataan pada Isnin telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan aktiviti tidak bermoral di dalam kem-kemnya di negara ini.

“Mindef memandang serius dakwaan berhubung kemasukan individu yang tidak berkaitan serta aktiviti-aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di dalam kem tentera seperti yang tular di media sosial.

“Sehubungan itu, pihak ATM telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman segera bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.

“Mindef menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya.

Mindef juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau membuat kesimpulan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan imej kementerian dan ATM.- 5/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button