
Jawatan Perdana Menteri dihadkan 10 tahun…
Tidak lama lagi tempoh masa pegangan untuk jawatan Perdana Menteri tidak lagi terbuka tanpa had masa seperti sekarang.
Satu rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan di Parlimen untuk mewajibkan pegangan jawatan berkenaan dihadkan untuk 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Langkah ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada amanat tahun 2026 di Putrajaya Isnin.
Anwar sendiri kebelakangan ini beberapa kali beritahu beliau tidak akan pegang jawatan Perdana Menteri lebih 10 tahun.
Sebelum ini misalnya Tun Dr Mahathir Mohamad pegang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun.
Antara negara yang sekarang ini amal hadkan pegang jawatan pemimpin negara selama dua penggal atau 10 tahun ialah Indonesia dan Amerika.
Anwar berkata, RUU itu antara langkah reformasi institusi yang dilaksanakan sebagai antara hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
“Semua orang ada had tempohnya, KSN (Ketua Setiausaha Negara) tidak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.
“Ini juga terpakai kepada Jabatan Perdana Menteri, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan RUU berkenaan tidak membabitkan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar.
katanya undang-undang itu hanya akan terpakai kepada Perdana Menteri saja.
“Bagi saya ini sangat penting, namun ia tidak membabitkan Ketua Menteri dan Menteri Besar, hanya Perdana Menteri.
“Kita di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sudah melaksanakan banyak kajian,” katanya.- – 5/1/2026



