Uncategorized

26 syarikat disiasat SPRM berkait tender perolehan Tentera Darat

Bukan sikit… 26 buah syarikat yang dikaitkan dengan tender perolehan Tentera Darat sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Sumber memberitahu, kesemua pemilik syarikat tersebut turut disiasat dan tidak menolak kemungkinan akan direman bagi membantu siasatan.

“SPRM telah mula menyiasat kesemua 26 buah syarikat tersebut kira-kira jam 11 pagi tadi di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” kata sumber yang dipetik Bernama.

Pada 23 Disember lalu, SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pada Jumaat, SPRM telah mengenal pasti individu lain yang disyaki terbabit dalam siasatan kes rasuah melibatkan seorang pegawai kanan Tentera Darat, membabitkan beberapa projek tender perolehan Tentera Darat.

SPRM turut mengesahkan tindakan pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan namun jumlah nilai aset atau akaun bank tidak didedahkan kepada media buat masa ini memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset telah dibekukan sepenuhnya.

Pada 29 Disember lalu, SPRM telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

Pegawai kanan tersebut sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember 2025, namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tarikh berkenaan.-6/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button