
Amanat Perdana Menteri perkukuh reformasi institusi dan daya saing ekonomi
Ucapan Amanat Tahun Baharu 2026 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini disifatkan selari dengan kerangka Ekonomi MADANI, khususnya dalam memperkukuh reformasi institusi, tadbir urus dan daya saing ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hala tuju strategik yang digariskan Perdana Menteri itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran awam melalui pengukuhan perundangan serta adaptasi teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja mampu memudahkan proses penyampaian perkhidmatan awam, malah mengurangkan kerenah birokrasi sekali gus meningkatkan kecekapan sistem kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita RTM, petang tadi.
Amanat Perdana Menteri turut menekankan keutamaan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui jaringan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Awal Persekolahan.
Tambahnya, pemerkasaan ekonomi secara inklusif juga terus diberi tumpuan, khususnya membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta agenda pembangunan ekonomi Bumiputera.
Dalam aspek ekonomi makro, Datuk Seri Amir Hamzah berkata kerajaan komited untuk meningkatkan pendapatan negara secara mampan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hala tuju baharu ini dapat direalisasikan berikutan kestabilan politik semasa serta pendekatan whole-of-nation yang menekankan kerjasama menyeluruh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sektor industri, penjawat awam serta seluruh rakyat Malaysia.-6/1/2026



