
Pengumuman PM perkukuh keyakinan sektor perniagaan, pendidikan – Fahmi
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan hala tuju dan garis pelaksanaan yang jelas terhadap dasar kerajaan, sekali gus memberi keyakinan kepada sektor perniagaan dan pendidikan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan kerajaan yang menumpukan pelaksanaan dasar secara tersusun dapat dilihat menerusi langkah mempermudah proses melibatkan kontraktor G1 hingga G4.
Selain itu, kejelasan berkaitan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta e-invois.
“Banyak daripada pengumuman ini dapat disambut dengan baik, khususnya oleh pihak perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, pengumuman berkaitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) memberi kelegaan kepada rakyat khususnya golongan memerlukan.
Mengulas sektor pendidikan, Fahmi berkata, pengumuman melibatkan semua jenis sekolah termasuk kelulusan bagi mempercepatkan proses penambahbaikan infrastruktur dijangka memberi manfaat besar kepada ekosistem pendidikan negara.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pengumuman Perdana Menteri pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun 2026 Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Berikut adalah inti pati Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Perdana Menteri:
1. Pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.
2. Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan di Parlimen tahun ini.
3. Rang undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentang pada sesi Parlimen ini.
4. Pelaksanaan sistem digital akan dipergiat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
5. Gaji hakim mahkamah dinaikkan selepas 10 tahun tiada kenaikan.
6. Peruntukan naik taraf sekolah sebanyak RM80 juta diberikan kepada SJKC, RM50 juta kepada SJKT.
7. Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 akan bermula 20 Januari.
8. Pemberian SARA RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari.
9. Pembayaran SARA bulanan akan dibuat secara berperingkat mulai 9 Januari.
10. Jualan Rahmah MADANI bermula 9 Januari, dan akan diadakan tiga kali sebulan di setiap DUN.
11. Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid boleh diambil di sekolah masing-masing.



