FOKUS

Ini jawapan Zahid…UMNO dan BN akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal

Seperti yang diduga oleh ramai pemerhati UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertindak keluar dari Kerajaan Perpaduan seperti yang disarankan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Parti itu akan kekal dalam gabungan bersama Pakatan Harapan hingga tamat penggal.

Pendirian ini ditegaskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi pada Selasa sebagai menjawab persoalan yang berlegar ekoran Konvensyen Khas Pemuda UMNO di WTC pada 3 Januari baru ini.

Mesyuarat Biro Politik UMNO di WTC semalam antara lain telah bincangkan saranan Ketua Pemuda UMNO itu.

Dr Akmal antara lain mahu hidupkan semula gabungan UMNO dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

Kata Zahid pada wartawan selepas satu majlis di Putrajaya “saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

“…dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya.

Menurut Zahid perkara itu memang pendirian UMNO dan BN ketika memasuki kerjasama dengan PH sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada Disember 2022.

Beliau beritahu tiada keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat Biro Politik semalam berkenaan saranan Pemuda UMNO itu.

Apapun tanpa menyebut mana-mana parti politik Zahid berkata, UMNO tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.

“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya.- 6/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button