
KEMASAKINI: Dr Mahathir perlu dirawat di hospital beberapa minggu akibat retak tulang pinggul
Akibat mengalami keretakan tulang pinggul kanan kerana terjatuh di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor pagi Selasa,Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan beberapa minggu untuk dirawat di hospital.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff kata selepas penilaian perubatan, telah disahkan bahawa bekas Perdana Menteri itu mengalami keretakan pada pinggul kanan.
“Mahathir dijangka berada di hospital untuk beberapa minggu akan datang untuk rawatan dan pemerhatian,” kata Sufi kepada media.
Ekoran kejadian 9 pagi itu ketika Dr Mahathir sedang “beralih” dari balkoni ke ruang tamu,beliau dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dengan ambulans.
Sementara itu, anak perempuannya Marina Mahathir dipetik Bernama berkata walaupun perkara itu dianggap sebagai serius, ia tidak mengancam nyawa, sambil menegaskan bapanya berada dalam keadaan baik mengambil kira faktor usianya.
“Ia suatu yang serius, tetapi tidak berbahaya. Bagi usianya, segala-galanya adalah relatif… beliau baik-baik sahaja.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan yang lebih lengkap dengan butiran lanjut kemudian. Kami perlu memastikan semua istilah yang betul digunakan,” katanya di lobi IJN hari ini.
Mahathir kali terakhir dimasukkan ke hospital di IJN pada Julai tahun lepas selepas mengalami keletihan semasa acara di Putrajaya, hanya beberapa hari selepas menyambut ulang tahunnya yang ke-100.- 6/1/2026
Dr Mahathir kini dirawat di IJN selepas terjatuh di rumahnya pagi Selasa…
Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) setelah terjatuh di rumahnya pagi Selasa.
Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri itu, Sufi Yusoff kata ketika kejadian difahamkan Mahathir sedang berjalan dari bahagian balkoni ke ruang tamu rumahnya.
Katanya Dr Mahathir dalam keadaan sedar dan terus dikejarkan ke IJN dengan ambulans dari kediamannya pada sekitar jam 9 pagi.
Sufi berkata, dia tidak boleh mengulas lanjut sehingga mendapatkan kemaskini laporan perubatan.
Kali terakhir,Dr Mahathir yang sudah berusia 100 tahun dimasukkan ke IJN adalah pada 13 Julai lalu susulan akibat keletihan selepas menghadiri sebuah program sempena ulang tahun kelahirannya ke-100 dan isterinya ke-99 di Putrajaya.- 6/1/2025



