
Ahli Parlimen Indera Mahkota,Pahang Datuk Saifuddin Abdullah dipecat dari Bersatu
Datuk Saifuddin Abdullah,salah seorang Ahli Parlimen Bersatu yang secara terbuka mengkritik kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipecat keahlian parti itu hari ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota,Pahang itu dikenakan tindakan berkenaan kerana didakwa telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti.
Saifuddin mengesahkan terima surat penamatan keahliannya dalam Bersatu petang Selasa dan memaklumkan beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Luar pada Oktober lalu disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional Pahang.
Tindakan berkenaan dikatakan susulan desakannya agar Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu dan Datuk Seri Azmin Ali digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung parti.
Dua lagi Ahli Parlimen Bersatu yangt kritikal terhadap Muhyiddin ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful dipecat daripada Bersatu manakala keahlian Wan Ahmad Fayhsal digantung selama sepenggal.- 6/1/2026



