
Peranan UMNO dalam kerajaan perpaduan sangat penting
Peranan yang dimainkan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sangat penting, khususnya dalam memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kematangan politik yang ditunjukkan UMNO sebagai parti politik Melayu terbesar dalam kerajaan telah membantu memperkukuh perpaduan, selain memastikan jentera kerajaan berfungsi dengan baik.
”UMNO kini merupakan parti berteraskan Melayu terbesar dalam kerajaan dengan 30 Ahli Parlimen dan memegang lapan jawatan menteri penuh.
”Ini menunjukkan peranan signifikan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya pada Selasa.
Saifuddin Nasution berkata kestabilan politik yang dinikmati ketika ini jelas berbeza berbanding penggal lepas yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan sedia ada berjaya mengekalkan seorang Perdana Menteri sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, yang membolehkan fokus diberikan kepada agenda reformasi dan pertumbuhan ekonomi.
”Kestabilan itu membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pertumbuhan ekonomi dan tadbir urus yang lebih teratur, sekali gus mencerminkan kemakmuran negara dengan petunjuk ekonomi yang positif,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution berkata, langkah itu adalah isyarat jelas kepimpinan yang berteraskan prinsip akauntabiliti.
Menurutnya, tempoh tersebut memberi ruang mencukupi bagi mana-mana pemimpin untuk menterjemahkan dasar serta reformasi yang telah dirancang untuk negara.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan UMNO dalam memposisikan parti itu dalam landskap politik semasa, sambil menegaskan Kerajaan Perpaduan kekal bersatu, stabil dan berfungsi dengan baik.-7/1/2026



