
Anwar jelaskan kerajaan MADANI dibangun atas semangat kebersamaan
Di depan 200 diaspora Malaysia di Turkiye, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI dibangunkan berteraskan semangat kebersamaan dan kerjasama erat antara parti komponen tanpa sikap mendabik dada.
Menurut beliau kekuatan kerajaan terletak pada kesepakatan jitu dalam melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, pelaksanaan program kerajaan perlu diperkasakan dengan lebih berkesan serta disertai usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan modal insan.
“Tidak semua kerana kekuatan itu bersama untuk melaksanakan program. Tapi andai kata kita dapat bertahan dan melaksanakan program dengan lebih baik. Tingkat kesedaran lebih bersungguh-sungguh. Anak-anak yang terdedah dengan ilmu baru, teknologi baru, IT dan AI dan kejuruteraan.
“Semua bidang-bidang baru ini. Teras dengan akidah dan akhlak yang baik. Sudah bayangkan satu dua tahun lagi Malaysia itu akan berubah wajahnya. Kita mampu lakukan,” katanya.

Katanya ketika berucap dalam Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di Turkiye.
Majlis dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional dan pelajar yang menetap di Ankara.
Terdahulu, Perdana Menteri dan Isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada pukul 7.13 malam waktu tempatan.
Beliau berada di Turkiye bagi lawatan rasmi selama tiga hari hingga 8 Januari atas jemputan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Lawatan rasmi kali ini bakal memberi tumpuan kepada perbincangan substantif.
Ini bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam pelbagai bidang strategik.
Beliau berkata pertemuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dijangka menjurus kepada usaha mempererat persahabatan kedua-dua negara, termasuk kerjasama perdagangan, pelaburan serta diplomasi.
“Perbincangan ini juga melibatkan kerjasama dalam pelbagai bidang lain seperti pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan,” katanya.

Tambahnya, pengukuhan hubungan dua hala itu akan memberi makna sebenar kepada nilai persahabatan strategik antara Malaysia dan Turkiye.
Mengulas lanjut, meskipun hampir tiga tahun memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, ini merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye.
Hadir sama ke Majlis tersebut, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.-7/1/2026



