FOKUS

Zahid ‘bebas sepenuhnya’ 47 kes Yayasan Akal Budi

Datuk Seri Zahid Hamidi boleh menarik nafas lega hari ini.Timbalan Perdana Menteri itu ‘bebas sepenuhnya’ dalam kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.

Pada 4 September 2023 keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah melepas ‘tanpa membebaskan’ (DNAA) beliau daripada 47 pertuduhan berkenaan.

Keputusan berkenaan telah menjadi isu yang kontroversi.Ini gara-gara pelbagai pihak telah mempersoalkannya.

Hari ini beliau mendapat khabar gembira bila Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap semua kes berkenaan.

Keputusan AGC itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes itu.

Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

AGC menegaskan keputusan terbabit diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.

Kenyataan itu memaklumkan terdahulu AGC merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkenaan.

“Berikutan keputusan DNAA itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.

“Ia termasuk perkara-perkara dibangkitkan melalui enam representasi dikemukakan kepada jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.

“Selepas meneliti keseluruhan bahan serta keterangan baharu diperoleh hasil siasatan lanjut dan penelitian terbabit, AGC berdasarkan penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan,” katanya.

Menurut AGC, penelitian itu dilakukan dengan turut mempertimbangkan empat perkara, termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.

“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” katanya.

AGC berkata, pertimbangan itu turut mengambil kira langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudian dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks serta keterangan baharu kes.

“Selain itu, dapatan hasil siasatan lanjut terbabit yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.- 8/1/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button