
Salam Erdogan kepada Dr Mahathir dan kisah di sebalik kalung bunga ke makam Ataturk
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan mereka bersempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Anwar berkata, Erdogan bertanyakan perkembangan kesihatan Dr Mahathir yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Menurut beliau, Erdogan turut menyampaikan salam serta doa agar Dr Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan keselamatan.
“Presiden Tayyip Erdogan turut menanyakan tentang kesihatan Dr Mahathir. Saya jelaskan sedikit berdasarkan maklumat yang telah disampaikan oleh doktor, dan beliau bersama-sama mengucapkan salam serta mendoakan agar Tun Dr Mahathir dikurniakan kesihatan dan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di Turkiye sebelum berangkat pulang ke Malaysia.

Beliau menambah, Erdogan turut menyatakan hasrat untuk menghubungi Dr Mahathir bagi bertanya khabar dan menyampaikan doa secara peribadi sekiranya keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu bertambah baik.
Sementara itu, mengulas mengenai upacara meletakkan kalungan bunga di makam pengasas Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk, Anwar menjelaskan ia merupakan protokol rasmi yang perlu dipatuhi semua ketua negara semasa lawatan rasmi ke negara itu.
Katanya, upacara berkenaan bukan bersifat pilihan peribadi atau mencerminkan pendirian ideologi mana-mana pemimpin, sebaliknya merupakan keperluan diplomatik yang telah lama diamalkan kerajaan Turkiye.
“Semua ketua negara yang mengadakan lawatan rasmi dikehendaki melaksanakan upacara tersebut. Sama ada setuju atau tidak, itulah rangkaian program rasmi yang telah ditetapkan, tanpa mengira parti mana yang memerintah di Turkiye,” katanya.
Menurut Anwar, amalan itu turut dilaksanakan oleh semua Perdana Menteri Malaysia yang pernah mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan sebelum ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat penilaian secara tergesa-gesa atau menghukum tanpa memahami latar belakang sejarah serta amalan diplomatik antarabangsa yang diamalkan oleh sesebuah negara.-9/1/2026



